AGENDA

Ahli perniagaan rugi RM688,300 terpedaya pelaburan palsu di Facebook

4 Feb 2024, 6:02 AM
Ahli perniagaan rugi RM688,300 terpedaya pelaburan palsu di Facebook

KUALA TERENGGANU, 4 FEB: Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM688,300 akibat terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata ahli perniagaan lelaki berusia lingkungan 50-an itu sebelum itu berminat untuk menyertai pelaburan berkenaan selepas melihat iklan menerusi laman Facebook pada Oktober lepas.

“Mangsa (ahli perniagaan) telah diberikan penerangan berkaitan pelaburan melalui satu pautan dan melalui laman web berkenaan, mangsa boleh membuat transaksi pelaburan dan melihat statistik pergerakan graf Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli berkata mangsa telah melakukan pembayaran sebanyak RM688,300 melalui 19 transaksi ke dalam 12 akaun berbeza dengan dijanjikan keuntungan RM2 juta apabila mencapai tarikh matang pada 24 Jan lepas.

Beliau berkata selepas tempoh yang dijanjikan, ahli perniagaan itu ingin mengeluarkan keuntungan, namun telah diminta membuat pembayaran pengeluaran sebanyak satu peratus daripada jumlah keuntungan.

"Oleh kerana tidak membuat pembayaran seperti yang diminta, mangsa telah disekat daripada mengakses semula ke laman web berkenaan,” katanya menambah ahli perniagaan itu kemudian membuat laporan polis pada Rabu lepas selepas menyedari dirinya ditipu.

Mazli sehubungan itu, menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, sebanyak 136 laporan diterima dalam tempoh seminggu bermula 28 Jan hingga semalam, berbanding 115 laporan bagi minggu sebelumnya dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 21 laporan.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1,095,762.15.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619