AGENDA

Menteri: Pasukan khas ditubuh kaji sistem prasekolah, sukatan pelajaran

3 Feb 2024, 8:59 AM
Menteri: Pasukan khas ditubuh kaji sistem prasekolah, sukatan pelajaran

NIBONG TEBAL, 3 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.

"Agenda kita adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu prasekolah dapat kita selaraskan semuanya di bawah KPM sebab itu baru-baru ini, mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas khas sudah berlangsung bagi membincangkannya.

"Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan yang berlaku dan dijayakan dalam konteks prasekolah ini, antara lain ialah perluasan prasekolah yang akan kita bincangkan dari segi kualiti pendidikan yang juga sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan untuk menjayakan isu prasekolah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Jemaah Menteri pada 24 Jan lepas memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Sehubungan itu, KPM sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM telah selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) September tahun lepas dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

"KPM telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan apa saja tindakan kerana di peringkat KPM kita telah selesai (jalankan siasatan) … kita tunggulah tindakan daripada pihak berkaitan," katanya.

Dalam kejadian pada 24 Sept 2023, seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh itu cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619