AGENDA

Berpendirian tegas, Sultan Ibrahim pemangkin penyatuan rakyat

3 Feb 2024, 2:30 AM
Berpendirian tegas, Sultan Ibrahim pemangkin penyatuan rakyat

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

ISKANDAR PUTERI, 3 FEB: Kepimpinan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dikenali sebagai raja yang berpendirian tegas dan berani, mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata Seri Paduka Baginda sebagai penaung utama negara, diyakini mampu menjadi tonggak kestabilan perpaduan rakyat, sekali gus memadam api perkauman yang boleh menggugat keharmonian antara kaum.

Seri Paduka Baginda yang berpendirian tegas juga akan menjadi benteng penghalang usaha pihak tertentu, terutama yang ingin mencapai matlamat politik mereka dengan memainkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Ketegasan itu boleh dilihat menerusi titah-titah Sultan Ibrahim sebelum ini yang antaranya memberi amaran kepada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.

“Seperti di Johor, pernah ada isu perkauman dan salah faham, tetapi ketegasan Sultan Ibrahim yang berperanan sebagai penaung negeri, menjadi pemadam api perkauman dan menitahkan supaya ia diselesaikan segera, “ katanya kepada Bernama di sini.

Sehubungan itu, beliau percaya peranan itu akan terus dimainkan oleh Seri Paduka Baginda dalam memastikan isu seperti 3R dapat dihentikan sebelum ia menjadi marak.

Ling berkata Seri Paduka Baginda yang sering mencemar duli berangkat bagi meraikan pelbagai sambutan perayaan ketika bergelar Sultan Johor, menjadi ikon perpaduan kepada rakyat di negeri itu.

“Contohnya, Tuanku hadir Festival Chingay yang merupakan antara sambutan terbesar di dalam negeri bagi kaum Tionghua, begitu juga Deepavali Tuanku berangkat dan memberi contoh terbaik,” katanya.

Menurut Ling, titah-titah Sultan Ibrahim berkenaan perpaduan juga telah mencetus kepada wujudnya Duta Perpaduan Johor dan Jawatankuasa Harmoni Negeri Johor.

Duta Perpaduan Johor telah melahirkan 300 generasi muda daripada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan persatuan belia di negeri itu yang berperanan menjadi jurucakap kerajaan negeri dalam menyampaikan mesej-mesej perpaduan kepada orang ramai.

Jawatankuasa Harmoni pula terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan pemimpin daripada setiap agama termasuk Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh, berperanan dalam berkongsi pandangan serta menangkis segala isu keagamaan dan sebagainya.

Justeru, beliau mengharapkan Malaysia akan terus harmoni dan rakyat bersatu padu dalam membangunkan negara di bawah naungan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan. Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619