AGENDA

Elak insiden merusuh berulang, Imigresen asingkan tahanan Rohingya di 12 depoh

2 Feb 2024, 1:30 PM
Elak insiden merusuh berulang, Imigresen asingkan tahanan Rohingya di 12 depoh

PUTRAJAYA, 2 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia kini melakukan pengasingan semula ke atas 2,675 tahanan etnik Rohingya di 12 depot seluruh negara bagi mengelak insiden melarikan diri berulang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata melalui pendekatan itu, bilangan etnik Rohingya dalam satu-satu blok akan dikurangkan dan dipindah ke blok lain serta dicampur dengan tahanan warga lain seperti Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata itu antara langkah kawalan dan prosedur operasi standard segera yang dilaksana oleh jabatan berkenaan susulan insiden tahanan lari dari depot imigresen di Bidor, Perak.

“Ini untuk kita kurangkan mereka daripada bertindak agresif. Kalau berkumpul ramai-ramai, mereka ada kecenderungan untuk bertindak agresif,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Malam tadi, sejumlah 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Mengenai insiden di Depot Imigresen Bidor, Ruslin berkata tahanan yang kebanyakannya etnik Rohingya bertindak agresif merempuh pintu sel dan pagar selain membaling batu ke arah 14 pegawai Imigresen bertugas.

Beliau berkata dua daripada 28 anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) yang bertugas di depot itu turut cedera ringan selepas dipukul sebelum tahanan terbabit melarikan diri.

“Mereka ini melarikan diri menggunakan jalan belakang, ikut kebun kelapa sawit menuju ke lebuh raya berdekatan.

“Kami percaya mereka masih berada di sekitar depot atau kawasan berhampiran… mereka mungkin bergerak dalam kumpulan kecil untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Ruslin juga berkata Imigresen tidak menolak kemungkinan semua tahanan yang melarikan diri telah melakukan perancangan awal.

“Siasatan lanjut akan dibuat kerana terlalu awal untuk buat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619