AGENDA

Tiada aduan pemotongan wang bantuan awal sekolah tahun ini

1 Feb 2024, 7:32 AM
Tiada aduan pemotongan wang bantuan awal sekolah tahun ini

IPOH, 1 FEB: Tiada aduan atau laporan diterima melibatkan pemotongan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh sekolah sejak ia diagihkan di seluruh negara bermula 10 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah maklumkan pihak sekolah supaya bantuan RM150 bagi seorang pelajar diterima oleh ibu bapa atau murid kerana ia bertujuan meringankan persiapan persekolahan.

“Sebelum ini, KPM (Kementerian Pendidikan) pernah menerima aduan bahawa ada sedikit penolakan daripada BAP yang telah dikenakan atas alasan pembayaran yuran dan sebagainya. Ia memang berlaku.

“Namun untuk tahun ini, tiada aduan diterima dan kita berikan mesej jelas kepada semua sekolah supaya bantuan RM150 bagi pelajar itu mesti sampai kepada ibu bapa atau murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Negeri Perak 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy di sini hari ini.

Terdahulu, Wong turut menyerahkan BAP berjumlah RM48.8 juta kepada Pengarah Pendidikan Perak Datuk Muhamad Fauzi Mahson untuk disalurkan kepada 325,162 murid di 1,104 sekolah di negeri itu.

Wong turut berharap penyaluran BAP itu berjalan lancar sehingga tarikh akhir proses berkenaan iaitu pada 10 Februari ini.

Pada 16 Oktober tahun lalu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan RM788 juta diperuntukkan melalui BAP yang memberi manfaat kepada 5.25 juta murid di seluruh negara.

Bantuan yang diberikan secara sekali bayar itu disalurkan melalui sekolah dengan diagihkan kepada ibu bapa murid secara tunai atau dikredit ke akaun masing-masing.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619