AGENDA

Orang ramai dinasihat waspada waran tangkap palsu di WhatsApp, Telegram

31 Jan 2024, 12:00 PM
Orang ramai dinasihat waspada waran tangkap palsu di WhatsApp, Telegram

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan elemen penipuan yang menggunakan modus operandi menghantar mesej waran tangkap palsu kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata waran itu didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya bertajuk ‘Unit Khas Pasukan B-19 JSJK.’

Beliau berkata waran itu kononnya dikeluarkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah dan kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.

“Isi kandungan waran tangkap itu juga menyatakan Mahkamah Tinggi memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut dan pesalah yang ditahan tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam.

“Selain itu, aset yang didaftarkan atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita serta tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara setelah tindakan diambil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata pihaknya tidak pernah menerima waran itu dan ia merupakan antara elemen penipuan.

Beliau berkata justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengikuti arahan yang diterima melalui mesej itu atau individu tidak dikenali.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihat untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Lakukan semakan dengan agensi berkaitan sebelum mengambil keputusan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau CCID infoline di talian 013-2111 222.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619