AGENDA

Simbah anak 13 tahun guna air panas, suri rumah dipenjara tiga tahun

31 Jan 2024, 10:16 AM
Simbah anak 13 tahun guna air panas, suri rumah dipenjara tiga tahun

MELAKA, 31 JAN: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini kerana menyimbah anak lelakinya dengan air panas selepas berang mangsa menghabiskan data Internet telefon bimbit, dua tahun lepas.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan tersebut selepas wanita berusia 38 tahun itu mengaku bersalah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Sungai Udang di sini pada 2.56 pagi 27 Jun 2022 sehingga menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya, yang ketika kejadian berumur 13 tahun, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan dia memiliki lima anak termasuk seorang penghidap austisme berusia enam tahun manakala dirinya adalah pesakit psikiatri.

Dia mendakwa mengalami tekanan teruk sejak insiden itu sehingga doktor terpaksa menaikkan dos pengambilan ubatnya daripada 50 miligram (mg) kepada 100 mg setiap hari.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 8 Julai 2023.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619