AGENDA

Khidmat LRT terus ke Stesen Masjid Jamek mulai esok

31 Jan 2024, 9:38 AM
Khidmat LRT terus ke Stesen Masjid Jamek mulai esok

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Operasi transit aliran ringan (LRT) dari arah Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights akan meneruskan perkhidmatan sehingga Stesen Masjid Jamek bermula esok hingga 16 Feb ini.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) Nor Azmi Mohd Yusof berkata perubahan operasi tren ini akan memudahkan pengguna tanpa perlu turun di stesen LRT Hang Tuah untuk mendapatkan tren pengantara bagi meneruskan perjalanan ke Stesen Masjid Jamek.

Bagaimanapun, beliau berkata penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

“Dalam tempoh sama, pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan menjalankan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan semula laluan ini kepada pengguna.

"... dengan perubahan terhadap pengoperasian itu, kekerapan tren pada waktu puncak juga akan dipertingkatkan kepada 3.5 minit bagi Daerah Pusat Perniagaan (DPP) dan tujuh minit di luar DPP susulan pertambahan tren daripada 24 kepada 31 tren," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat media mengenai operasi percubaan lanjutan daripada kerja-kerja baik pulih struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya, di sini hari ini.

Sebelum ini, laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Jan tahun lepas, susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Nor Azmi berkata pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel.

"Kita harap pengguna dapat bersabar sedikit masa lagi untuk percubaan akhir selesai sebelum kita dapat memulakan operasi normal yang dijangka dilaksanakan pada penghujung Februari ini, bergantung kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya

Sementara itu, Ketua Jabatan Projek Pembangunan Rel Prasarana Malaysia Berhad Muhammad Hafizi Hashim berkata kerja-kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan berhampiran stesen Bandaraya telah selesai sepenuhnya.

"Semasa kerja-kerja dijalankan, kontraktor telah memasang beberapa peralatan untuk monitor di ground movement. Untuk ujian percubaan akhir ini, kita terus merekodkan prestasi ground movement untuk memastikan segala perjalanan masa ujian itu adalah melalui standard piawaian yang ditetapkan," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619