AGENDA

Istiadat ketenteraan sambut ketibaan Sultan Ibrahim di Istana Negara

31 Jan 2024, 3:24 AM
Istiadat ketenteraan sambut ketibaan Sultan Ibrahim di Istana Negara
Istiadat ketenteraan sambut ketibaan Sultan Ibrahim di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Istiadat ketenteraan penuh tradisi menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebaik tiba di Dataran Istana Negara hari ini.

Sultan Ibrahim yang tiba di Istana Negara pada 10.40 pagi untuk menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sultan Ibrahim kemudian menerima Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota yang diketuai Mej Nurul Fauzan Md Sabri di Dataran Istana Negara.

[caption id="attachment_626357" align="aligncenter" width="718"] Kenderaan membawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim beredar keluar dari perkarangan Istana Bukit Serene menuju Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pada 31 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Serentak dengan itu, Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dengan 40 anggota yang dipimpin Lt Muhamad Fauzee Japar memainkan lagu Negaraku sebelum Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Pemerintah Tertinggi ATM berkenan memeriksa KKU berkenaan.

Selesai istiadat di Dataran Istana Negara, Sultan Ibrahim berangkat memasuki Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) bersempena dengan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Akuan Sumpah Memegang Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619