AGENDA

Piala Dunia: Skuad hoki lelaki tempah tiket final bertemu Belanda malam ini

31 Jan 2024, 2:00 AM
Piala Dunia: Skuad hoki lelaki tempah tiket final bertemu Belanda malam ini

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara memahat sejarah tersendiri dengan kejayaan melangkah ke pentas final edisi sulung Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman selepas menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.

Pada pertembungan berlangsung di Hockey Oman Venue itu, skuad bimbingan Wallace Tan berbekalkan semangat juang tinggi terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi pukulan penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ketujuh disusuli Poland yang menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian menerusi jaringan padang Damian Jarzembowski.

Bersambung babak kedua perlawanan, tiga gol terhasil daripada skuad 5s lelaki negara menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19 diikuti kapten pasukan Mohamad Akhimullah Anuar Esook masing-masing pada minit ke-22 dan ke-24 sekali gus memastikan kedudukan selesa buat negara untuk mendahului 4-1 di depan Poland.

Poland bangkit merapatkan kedudukan apabila mencetak dua gol masing-masing menerusi Wojciech Rutkowski (27') dan Jakub Holosyniuk (30'), namun ternyata tidak cukup untuk mengekang hasrat skuad negara untuk mara ke peringkat seterusnya.

Skuad negara dijadualkan bertemu Belanda di pentas final pada 12.20 tengah malam ini.

"Apa yang boleh dikatakan tentang perlawanan hari ini, pemain Malaysia telah memberikan segalanya berjuang sehingga ke saat akhir.

"Yang terakhir tu Poland dapat cabar tapi kita dapat selamatkan sekali gus memenangi perlawanan ini," kata Wallace menerusi video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619