AGENDA

Jaga kebajikan pemandu teksi, seramai 40,000 disasar carum Perkeso

30 Jan 2024, 8:24 AM
Jaga kebajikan pemandu teksi, seramai 40,000 disasar carum Perkeso

PUTRAJAYA, 30 JAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyasarkan 40,000 pemandu teksi di negara ini diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha meningkatkan jaringan keselamatan sosial buat golongan ini.

Menterinya Anthony Loke berkata inisiatif itu juga bagi menjaga kebajikan pemandu teksi yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan veteran Angkatan Tentera.

“Mereka ini kalau ikutkan tiada perlindungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO...kalau jadi apa-apa pada mereka, sekurang-kurangnya inisiatif yang kami berikan ini dapat beri perlindungan kepada golongan ini.

“Inisiatif ini adalah antara usaha kami untuk bantu rakyat dengan hasil kutipan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) selama ini yang manfaatnya diberikan semula kepada rakyat,” katanya pada sidang media NPI hari ini.

Loke bagaimanapun berkata perincian mengenai skim caruman tersebut hanya akan diumumkan selepas memperoleh kutipan hasil bidaan NPI bagi siri GOLD yang akan berakhir pada 5 Feb.

“Kami sudah ada angka dan kami juga tahu implikasi kewangan yang bakal terlibat…perinciannya akan diumumkan selepas bidaan siri GOLD selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata tunggakan pengeluaran lesen memandu akan ditangani segera dan perinciannya akan dimaklumkan kelak.

“Kami memang tahu ada banyak kes tunggakan lesen memandu, kami akan tanganinya dan percepatkan proses itu…dan kami sudah ada perbincangan dan antara pendekatannya ialah E-Testing yang akan diumumkan selepas Tahun Baharu Cina.

“Kami juga akan beri insentif untuk percepatkan proses ini, saya tidak mahu umumkan dahulu, ada sedikit perincian kena buat, selepas Tahun Baharu Cina saya akan turun ke satu akademi memandu dan kami akan beri perincian,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619