AGENDA

Dr Wan Junaidi angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan

29 Jan 2024, 11:57 AM
Dr Wan Junaidi angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan

KUCHING, 29 JAN: Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.

Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh 102 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diketuai oleh DSP Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti dengan Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di Dewan Lapau pada 4 petang.

Wan Junaidi terlebih dahulu mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang Dipertua Negeri disaksikan oleh Premier Sarawak.

Wan Junaidi, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Februari ini telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat lalu di Istana Negara.

Pelantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 sehingga 26 Januari 2028, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619