AGENDA

Polis: Bapa pukul, tendang anak hingga cedera miliki tujuh rekod dadah

25 Jan 2024, 6:19 AM
Polis: Bapa pukul, tendang anak hingga cedera miliki tujuh rekod dadah

SEREMBAN, 25 JAN: Polis menahan seorang lelaki 47 tahun yang dipercayai memukul dan menendang anak perempuannya berumur 17 tahun hingga cedera, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata lelaki itu turut disiasat bagi kesalahan merogol, selepas polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah tengah malam tadi yang memaklumkan remaja itu memberitahu dia pernah dirogol bapanya pada 12 Nov tahun lepas.

“Remaja itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan akibat kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir akibat dipukul,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata remaja itu merupakan anak pertama daripada empat beradik, tinggal bersama neneknya di Rantau, Seremban sejak berumur empat tahun selepas perceraian ibu bapanya, sebelum tinggal bersama bapanya itu sejak Jun 2022.

Hazri berkata semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Suspek kini direman hingga 27 Jan ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619