AGENDA

Wanita warga asing ditahan, cuba ragut rantai leher pengunjung Batu Caves

25 Jan 2024, 3:30 AM
Wanita warga asing ditahan, cuba ragut rantai leher pengunjung Batu Caves

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Wanita warga asing ditahan selepas cuba meragut rantai leher milik seorang wanita warga emas dalam kejadian berhampiran kuil Batu Caves di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 5 petang, ketika mangsa berusia 64 tahun sedang berjalan kaki bersama dua cucunya berusia 17 dan 15 tahun, di tepi jalan berhampiran kuil terbabit.

“Mangsa kemudiannya ditolak oleh suspek yang cuba menarik rantai leher warga emas itu. Ketika kejadian berlaku, terdapat saksi awam yang melihat dan menjerit menyebabkan suspek melepaskan rantai ditarik sehingga putus dan jatuh di atas jalan.

“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata permohonan tahanan reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Selayang hari ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Kita menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan berwaspada dalam menjaga keselamatan harta masing-masing semasa mengunjungi serta merayakan Thaipusam di Kuil Batu Caves," katanya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Yap Chin Chua di talian 019-9969469 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619