AGENDA

Pesara rugi lebih RM1.4 juta terpedaya skim saham tipu di Facebook

23 Jan 2024, 8:13 AM
Pesara rugi lebih RM1.4 juta terpedaya skim saham tipu di Facebook

KUANTAN, 23 JAN: Seorang pesara swasta mendakwa kerugian lebih RM1.4 juta selepas menyertai skim pelaburan saham yang diketahui menerusi akaun Facebook sejak Oktober lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 70 tahun mendakwa berminat untuk menyertai pelaburan itu kerana menjanjikan keuntungan lumayan.

"Mangsa semakin tertarik kerana turut diberikan kelas pelaburan selama lapan bulan secara dalam talian sebelum membuat pelaburan pertama bernilai RM20,000.

"Pelaburan itu, menurut mangsa membawa pulangan sebanyak RM4,000 menyebabkan dia berani mengeluarkan wang simpanan untuk menambah modal," katanya menerusi kenyataan menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa mendakwa telah membuat 19 kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun diberikan suspek bagi tujuan itu, yang secara keseluruhannya melibatkan bayaran RM1.4 juta.

Mangsa membuat laporan polis di balai polis di Raub, dekat sini semalam, selepas gagal menghubungi suspek bagi mengeluarkan 'keuntungan' yang dijanjikan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang awam untuk berwaspada dan membuat semakan sebelum menyertai pelaburan dalam talian, khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat transaksi bagi mengurangkan risiko diperdaya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619