AGENDA

Penjawat awam dikehendaki lengkapkan program pembelajaran AI untuk rakyat

21 Jan 2024, 8:10 AM
Penjawat awam dikehendaki lengkapkan program pembelajaran AI untuk rakyat

PUTRAJAYA, 21 JAN: Penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran AI Untuk Rakyat, sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran “Pelaksanaan program ‘AI Untuk Rakyat’ Dalam Kalangan Penjawat Awam’ bertarikh 17 Januari 2024 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam di peringkat kementerian, jabatan, agensi persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun persekutuan; pihak berkuasa berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Penglibatan penjawat awam dalam Program AI Untuk Rakyat dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” demikian menurut surat edaran itu.

Program AI Untuk Rakyat ialah program pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’.

“Laporan penyertaan program AI Untuk Rakyat di peringkat organisasi masing-masing hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel radin.hambali@ekonomi.gov.my.

“Sesalinan laporan itu juga hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel johanna.zainal@jpa.gov.my,” menurut surat edaran itu.

Berdasarkan surat yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA hari ini itu, program AI boleh dicapai menerusi portal AI Untuk Rakyat melalui pautan www.ai.gov.my.

Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal AI Untuk Rakyat boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel c4ir@mydigital.gov.my seperti yang tertera dalam portal itu atau e-mel contactus@mydigital.gov.my atau menghubungi talian 03-88618282.

Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program AI Untuk Rakyat dan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619