AGENDA

Sindiket perlombongan wang digital tumpas, dua lelaki warga China ditahan

21 Jan 2024, 2:26 AM
Sindiket perlombongan wang digital tumpas, dua lelaki warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket aktiviti perlombongan wang digital (bitcoin) didalangi dua lelaki warga China dalam operasi Khas yang dijalankan pada 19 Januari di kawasan rumah kedai di Cheras.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi hasil aduan dan risikan selama sebulan, bermula pada 10 malam itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Pasukan operasi telah diatur gerak ke sebuah premis lot perniagaan dan berjaya menahan dua lelaki warganegara China berusia 28 dan 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan juruteknik membaik pulih mesin bitcoin.

“Semasa serbuan, kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan dokumen perjalanan asal dipercayai disimpan oleh pihak ejen,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ruslin berkata pasukan operasi merampas wang tunai RM12,600,30 unit mesin bitcoin, dua unit mesin cooler bitcoin, dua unit CPU komputer, satu unit komputer riba dan dua set peralatan testing.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjalankan aktiviti perlombongan wang digital secara haram dengan menggunakan papan tanda perniagaan tinted kenderaan bagi mengelakkan aktiviti tersebut dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Ruslin, sasaran sindiket ini adalah warga China dan penduduk tempatan selain menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis mesin bitcoin untuk pasaran tempatan manakala bayaran bagi perkhidmatan servis itu dianggarkan antara RM100 hingga RM200 bagi setiap mesin.

Sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu dan mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 sebulan. Kedua-duanya disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619