AGENDA

Lelaki rugi lebih RM1.6 juta akibat pelaburan kripto tidak wujud

20 Jan 2024, 12:44 AM
Lelaki rugi lebih RM1.6 juta akibat pelaburan kripto tidak wujud

IPOH, 20 JAN: Jururunding mengalami kerugian RM1.65 juta akibat membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform 'Unobitex' yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 37 tahun berasal dari Taman Perak di sini, semalam.

Beliau berkata mangsa membuat aduan mengenai satu kes tipu pelaburan tidak wujud apabila suspek memperdayanya melalui laman media sosial Facebook dan aplikasi Telegram untuk membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform berkenaan.

Katanya, siasatan polis mendapati pada awal September 2023, ketika mangsa berada di rumahnya, beliau diperkenalkan rakan dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto melalui platform Unobitex.

"Sejak 12 September 2023, mangsa memasukkan dana 44 kali ke dalam pelbagai akaun bank berbeza berjumlah RM1,651,585 (RM1.65 juta).

"Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai negara Arab Saudi, barulah mangsa sedar beliau ditipu suspek," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Mohd Yusri memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619