AGENDA

Negeri sedia inisiatif bantu pengguna berdepan tarif air baharu

18 Jan 2024, 6:58 AM
Negeri sedia inisiatif bantu pengguna berdepan tarif air baharu

SHAH ALAM, 18 JAN: Beberapa langkah akan diambil Kerajaan Negeri bagi membantu pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdepan tarif air baharu mulai 1 Februari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perkara itu akan diumum dalam masa terdekat bagi mengurangkan beban yang dihadapi kira-kira 49 peratus pengguna di negeri ini.

“Saya akan maklumkan langkah tersebut termasuk meneruskan Skim Air Darul Ehsan (SADE). Kita cuba yang terbaik dan menggunakan simpanan (negeri) untuk kurangkan bebanan ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program graduasi Sekolah Digital Selangor di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan kenaikan purata 22 sen setiap meter padu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut SPAN, pelarasan berkenaan tidak boleh ditangguh bagi memastikan kemapanan industri perkhidmatan bekalan air dalam jangka panjang dan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai.

Mendapat penjelasan perkara itu daripada Air Selangor semalam, Amirudin menambah tarif baharu itu perlu bagi menjamin model kelestarian dan pelan perniagaan agensi untuk jangka panjang.

“Kesan peningkatan ini akan kita pulangkan kembali kepada rakyat antaranya penggantian paip. Tahun ini, kita tingkatkan kepada 300 kilometer (km) ganti paip. Sebelum ini, tukar 150km.

“Maknanya dalam 15 tahun, kita akan menggantikan seluruh paip di negeri ini terutama jajaran 6,000km paip yang bermasalah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619