AGENDA

Hepatitis A menular akibat pusat perlindungan di Gaza sesak

18 Jan 2024, 6:00 AM
Hepatitis A menular akibat pusat perlindungan di Gaza sesak

BANDARAYA GAZA, 18 JAN: Semenanjung Gaza kini sedang bergelut dengan penularan wabak Hepatitis A akibat kesesakan di pusat perlindungan di wilayah itu, Agensi Anadolu (AA) memetik Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Kementerian itu mengeluarkan amaran berhubung potensi penggantungan ujian darah lengkap (CBC) pada bila-bila masa, merujuk kepada kekurangan bahan yang diperlukan untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, butiran khusus mengenai kekurangan itu tidak disediakan.

Keadaan mencabar yang dihadapi oleh penduduk Gaza yang diusir itu diburukkan lagi dengan kekurangan tandas dan kemudahan sanitasi, menyumbang kepada pengumpulan sisa buangan berhampiran khemah yang baru didirikan.

Tidak cukup dengan itu, penduduk di pusat perlindungan turut mengalami masalah kekurangan air dengan kebanyakan individu bergelut untuk melindungi diri mereka daripada akibat pencemaran dan kebersihan yang tidak mencukupi.

Hepatitis A, virus yang disebarkan melalui makanan dan air yang tercemar atau sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti, menimbulkan ancaman kesihatan yang ketara dalam keadaan yang mencabar ini.

Sejak serangan 7 Okt lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa 85 peratus penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal, berdepan kekurangan sumber penting seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 24,448 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala 61,504 individu lagi cedera.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619