AGENDA

Piala Asia: Qatar pasukan pertama mara ke pusingan 16 terbaik

18 Jan 2024, 1:00 AM
Piala Asia: Qatar pasukan pertama mara ke pusingan 16 terbaik

DOHA, 18 JAN: Juara bertahan Qatar muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Tajikistan 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Bayt di Bandar Al Khor, kira-kira 35 kilometer dari sini, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad The Maroons bimbingan Marquez Lopez meraih kemenangan kedua berturut-turut untuk mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata menjelang perlawanan terakhir bertemu China, minggu depan.

Penyerang kelab Al Sadd, Akram Afif, sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan pada separuh masa pertama perlawanan sekali gus menyaksikan beliau kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan mengumpul tiga gol.

Jaringan kemenangan itu terhasil pada minit ke-17 menerusi serangan balas pantas apabila Afif yang menerima hantaran Almoez Ali tidak teragak-agak melepaskan rembatan dari jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Rustam Yatimov.

Gol pembukaan itu ternyata membakar semangat Qatar yang kemudian memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi tandukan Jassem Gaber pada minit ke-39 dan rembatan Afif pada minit ke-43, yang memaksa Yatimov bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan menjelang waktu rehat.

Harapan Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt untuk bangkit musnah pada minit ke-81 apabila pemain tengah Amadoni Kamolov dilayangkan kad merah selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau menendang Ahmed Al Ganehi.

Sebagai rekod, ini adalah pertembungan sulung kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, China mencatat keputusan seri kedua selepas terikat tanpa jaringan bertemu Lubnan di Stadium Al Thumama.

China kini di kedudukan kedua dengan mengumpul dua mata sementara Tajikistan dan Lubnan yang mengumpul satu mata masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619