AGENDA

Malaysia ulangi sokongan prosiding Afrika Selatan terhadap Israel

12 Jan 2024, 1:03 PM
Malaysia ulangi sokongan prosiding Afrika Selatan terhadap Israel

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid menyeru Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejamannya terhadap rakyat Palestin serta-merta.

Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di semua platform dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ.

"Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang diadakan pada 11 dan 12 Januari," menurut kenyataan Wisma Putra.

Permohonan itu difailkan pada 29 Disember 2023, berkaitan dengan pencabulan Israel terhadap obligasinya di bawah Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid ("Konvensyen Genosid") terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Ketika hujah lisannya, Afrika Selatan menegaskan kepentingan segera supaya ICJ menetapkan langkah sementara termasuk mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan kekejaman terhadap rakyat Palestin serta-merta.

Afrika Selatan telah mengemukakan bukti kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid.

Hari kedua akan disambung dengan hujah lisan daripada Israel. Keputusan ICJ berhubung langkah sementara dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619