AGENDA

Banteras kartel industri beras, kerajaan sedia audit pemegang lesen

8 Jan 2024, 12:46 PM
Banteras kartel industri beras, kerajaan sedia audit pemegang lesen

BACHOK, 8 JAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia menjalankan audit terhadap pemegang lesen borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS) bagi membanteras isu kartel.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pada masa ini, terdapat seramai 39,000 daripada mereka yang terlibat dalam industri makanan tersebut.

"Saya sendiri turun secara mengejut tanpa memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung kedudukan beras dan segala bentuk pemakanan di negara ini.

"Alhamdulillah, sekarang ini masalah ini beransur pulih kerana kami bertindak bersama semua pihak dan kalau ada yang melanggar undang-undang, kami yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak seperti yang kami buat pada masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pembiakan dan Penternakan Lembu Wagyu di Ladang Kelfarm Sdn Bhd yang dihadiri Pengarah Eksekutif Syarikat Kelfarm Sdn Bhd Paizol Akman Awang di Kampung Seneng Jelawat, di sini, hari ini.

Mohamad berkata melalui agensinya iaitu Kawal Sedia Padi dan Beras Negara (KSPBN) pihaknya menjalankan siasatan dan bertindak berdasarkan fakta bersama KPDN.

"Kami bertindak apabila ada fakta dan kami tidak mahu hebahkan satu-satu perkara, dalam masa yang sama, kami lakukan siasatan bersama KPDN kerana mereka ini yang bertindak menjaga hal-hal berkaitan kartel.

"Sekarang terdapat kes yang berada di peringkat pendakwaan," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619