AGENDA

Disyaki subahat sindiket dadah terbesar di Sabah, pegawai penguat kuasa ditahan

8 Jan 2024, 7:13 AM
Disyaki subahat sindiket dadah terbesar di Sabah, pegawai penguat kuasa ditahan

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Polis menahan seorang pegawai agensi penguat kuasa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, menjadikan keseluruhan 11 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek berumur 43 tahun yang ditahan pada 29 Dis lepas di sekitar Lembah Klang, dipercayai berperanan sebagai transporter dalam kartel dadah berkenaan.

Bercakap dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini, beliau berkata suspek sebelum ini pernah bertugas di Sabah dan telah dipindahkan untuk bertugas di Lembah Klang.

Menurutnya, operasi siasatan sindiket dadah berkenaan masih berjalan dan akan ada tangkapan baharu.

“Pada masa sama, kami juga sedang menyiapkan kertas siasatan kes ini dan akan dipanjangkan ke pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ayob Khan berkata polis telah mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri berkenaan aset-aset milik anggota sindiket berkenaan.

“Selain itu, polis juga telah membekukan sebanyak 22 akaun bank bernilai RM420,000, menyita 18 pelbagai kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, merampas wang tunai RM35,000, barangan kemas dan jam tangan jenama Rolex yang dianggarkan bernilai RM100,000.

“Proses ini akan berterusan dan kami akan menjejak lagi aset-aset milik ketua-ketua sindiket dan anggota sindiket,” katanya.

Ayob Khan berkata polis turut mendapat maklumat bahawa sindiket ini menggunakan kontena untuk menyeludup dadah, namun siasatan masih diteruskan.

“Kami akan memastikan sindiket terbabit ditumpaskan secara keseluruhannya dan tidak ada lagi saki-baki yang bebas,” katanya.

Pada 26 Dis lepas, ketua sindiket dadah bergelar "Datuk" antara 10 lelaki ditahan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu yang dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sejak 2015.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619