AGENDA

Cabang kerjaya e-sukan dijangka terus meningkat

6 Jan 2024, 9:42 AM
Cabang kerjaya e-sukan dijangka terus meningkat

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Peluang pekerjaan dalam industri e-sukan akan terus meningkat selepas sukan yang menjadi kegilaan para remaja itu dilihat semakin berkembang pesat menerusi penganjuran lebih banyak kejohanan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir optimis penganjuran kejohanan e-sukan berpotensi membuka peluang kepada profesion lain seperti jurulatih, ahli psikologi, pakar nutrisi, marsyal serta pereka grafik.

“Jadi apabila banyak pasukan menyertai kejohanan e-sukan, maka lagi banyaklah pertandingan akan dianjurkan oleh penganjur lain. Jadi dari sini banyak masa dan tenaga yang akan terlibat untuk menjana pendapatan mereka.

“Saya nampak ada banyak peluang dan ini tidak hanya tertumpu kepada pemain sukan elektronik sahaja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sewaktu EsportsCon Malaysia 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, pemain e-sukan, Muhammad Haiqal Ahmad Yatim, 26, berkata penglibatan dalam sukan tersebut membantunya menambah duit poket ketika zaman belajar meskipun pada awalnya tidak direstui kedua-dua orang tuanya.

“Masa zaman belajar dulu, tidak ada duit jadi orang tua suruh berdikari. Selepas itu, saya berniaga macam-macam dan kemudian bila streaming ini dapat jana pendapatan. Dalam masa dua tahun, saya berjaya banggakan ibu bapa dan mereka akhirnya restu,” katanya.

Muhammad Haiqal yang diberi julukan ‘Sultan Riq’ juga menyifatkan kejayaan memenangi kategori Best of Gaming pada TikTok Awards 2023 sebagai pengalaman paling manis dalam hidupnya setelah berkecimpung dalam dunia sukan maya tersebut sejak lima tahun lepas.

ESI, satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di bawah Impact Integrated, menganjurkan EsportsCon Malaysia buat julung kalinya yang menghimpunkan penggiat industri termasuk Key Opinion Leader (KOLs), jenama e-sukan, pasukan e-sukan dan pelbagai lagi.

Antara aktiviti diadakan adalah perbincangan panel tentang topik e-sukan, persembahan cosplay dan cabutan bertuah.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619