AGENDA

Kukuh industri halal antara 10 kluster tumpuan Kongres Ekonomi Bumiputera

5 Jan 2024, 5:00 AM
Kukuh industri halal antara 10 kluster tumpuan Kongres Ekonomi Bumiputera

PUTRAJAYA, 5 JAN: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebagai usaha menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kongres yang dianjurkan atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet itu akan memberi tumpuan kepada 10 kluster utama, antaranya reformasi pendidikan dan modal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan penguasaan teknologi baharu.

“Ia melibatkan semua golongan profesional, ahli akademik dan pemain dalam industri yang terlibat dalam setiap kluster diwujudkan. Kita akan lihat komitmen kerajaan MADANI dalam melaksanakan agenda Bumiputera menerusi KEB,” kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Ahmad Zahid berkata KKDW dan Kementerian Ekonomi telah melantik pengerusi bagi setiap kluster untuk menjayakan KEB kali ini.

Beliau berkata pada Kongres itu Perdana Menteri akan menerima satu resolusi KEB, dan Anwar juga dijangka berkongsi usaha-usaha baharu dalam memperkasa Bumiputera, mencakupi perkara berkaitan teknologi baharu serta pelan futuristik untuk generasi akan datang.

“Perancangan KEB tentunya bukan hanya untuk mewujudkan resolusi tetapi tinggal di atas kertas sahaja, sebaliknya sektetariat tetap telah tampilkan dua kementerian untuk pantau pelaksanaan resolusi bagi tiap kluster yang dibentuk,” katanya.

Ahmad Zahid berkata KEB terdahulu telah menunjukkan keberkesanan, antaranya dengan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dilihat memainkan peranan besar dalam membantu ekonomi Bumiputera.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619