AGENDA

Selangor dipilih negeri pertama siri Jelajah Madani

3 Jan 2024, 10:45 AM
Selangor dipilih negeri pertama siri Jelajah Madani

PUTRAJAYA, 3 JAN: Selangor akan menjadi negeri pertama sebagai hos bagi siri Jelajah Madani peringkat negeri, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju untuk melakukan Jelajah Madani bagi peringkat negeri, selepas kejayaan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Disember lalu.

“Kita akan umumkan, mungkin minggu depan mengenai tarikh dan lokasi program ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 10 Disember lalu, Fahmi dilaporkan berkata penganjuran Jelajah Madani akan diadakan di peringkat negeri dan mencadangkan semua kementerian untuk turut serta mempamerkan inisiatif serta pencapaian kerajaan yang khusus bagi negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan aksi perlawanan Piala Asia 2023 mulai 12 Januari ini.

Beliau berkata siaran itu tidak hanya terhad kepada perlawanan yang melibatkan pasukan Harimau Malaya tetapi juga pasukan negara lain.

“Ada beberapa pihak yang bertanya sama ada akan disiarkan menerusi RTM. Jawapannya... ya, ia akan disiarkan menerusi RTM.

“Saya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib. Insya-Allah akan disiarkan. Jangan risau, kerajaan akan pastikan kita dapat tonton perlawanan yang bukan hanya melibatkan Harimau Malaya tetapi juga pasukan lain dalam Piala Asia ini,” katanya.

Piala Asia 2023 menyaksikan Qatar sebagai tuan rumah.

Harimau Malaya bakal berdepan cabaran besar di Piala Asia 2023 apabila diundi bersama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Skuad negara akan membuka kempen Piala Asia 2023 berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia) 16 Januari ini, sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619