AGENDA

Permohonan sijil halal meningkat, cecah 15,605 sepanjang 2023

3 Jan 2024, 8:18 AM
Permohonan sijil halal meningkat, cecah 15,605 sepanjang 2023

PUTRAJAYA, 3 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima 15,605 permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) pada 2023, meningkat empat peratus berbanding 14,977 permohonan yang diterima pada 2022, kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Daripada 15,605 permohonan yang diterima, sebanyak 8,509 permohonan diluluskan melibatkan 132,106 produk dipersijilkan halal, dengan jumlah fi yang diterima ialah RM11.035 juta, katanya.

"Produk yang dipersijilkan halal meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hakimah, berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023.

"Perkara ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia semakin berkembang pesat jika dibandingkan dengan negara lain.

"Pencapaian ini juga telah menyumbang kepada kedudukan Malaysia untuk mengekalkan tempat pertama dari 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut," katanya.

Hakimah berkata Jakim akan memastikan komitmen yang penuh diberikan bagi memastikan pengurusan SPHM berada pada tahap yang terbaik dengan pelbagai inisiatif baharu dirancang dan dirangka bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia di peringkat global.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619