AGENDA

Kementerian cari jalan selesai isu murid tiada dokumen kewarganegaraan

3 Jan 2024, 2:22 AM
Kementerian cari jalan selesai isu murid tiada dokumen kewarganegaraan

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan pertemuan dengan keluarga murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan yang diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember lepas itu bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

"Pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah. Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” menurut kenyataan itu.

KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara selain selari dengan agenda pendidikan manusiawi iaitu memastikan tiada murid yang tercicir.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai tidak dapat meneruskan darjah empat pada Mac ini kerana isu dokumentasi kewarganegaraan berikutan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Murid itu sebelum ini bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang dan disebabkan tidak mempunyai kewarganegaraan, keluarganya perlu membayar RM120 setiap tahun untuk bersekolah, namun pihak sekolah memberitahu kanak-kanak itu tidak dapat meneruskan persekolahan pada sesi pembukaan sekolah Mac ini disebabkan oleh dasar baharu KPM.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619