AGENDA

PM lancar sistem pangkalan data utama esok, pelaksanaan program lebih bersasar

1 Jan 2024, 8:08 AM
PM lancar sistem pangkalan data utama esok, pelaksanaan program lebih bersasar

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), esok.

Majlis yang bermula 8.30 pagi hingga 2 petang itu, melibatkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’, sebelum Anwar dijadual merasmikan sistem berkenaan pada 12.15 tengah hari.

Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem PADU akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.

Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.

Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan PADU, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.

Selain pemantauan dan penilaian berkesan terhadap pelaksanaan dasar negara, PADU yang merupakan pangkalan data yang berintegrasi dan berpusat mampu menjimatkan sumber secara signifikan.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619