AGENDA

395,870 calon duduki SPM 2023, KPM sedia talian bilik gerakan peperiksaan

1 Jan 2024, 4:57 AM
395,870 calon duduki SPM 2023, KPM sedia talian bilik gerakan peperiksaan

PUTRAJAYA, 1 JAN: Seramai 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

KPM dalam kenyataan itu mengingatkan semua calon, untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Calon turut diingatkan untuk membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, serta mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan ditetapkan.

“Semua calon peperiksaan SPM 2023 dinasihatkan memaklumkan pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa calon juga, boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN seluruh negara.

Menurut kenyataan itu KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk banjir, sepanjang peperiksaan berlangsung.

“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17-23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac), sementara Ujian Amali Sains telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember lalu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619