AGENDA

Hampir 600,000 kes kemalangan jalan raya seluruh negara sepanjang 2023

1 Jan 2024, 4:30 AM
Hampir 600,000 kes kemalangan jalan raya seluruh negara sepanjang 2023

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Dis tahun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12,417 merupakan kemalangan melibatkan kematian.

“Sementara 2,331 kes membabitkan kemalangan parah dan 28,511 kemalangan ringan, manakala selebihnya hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 173,129 kes, diikuti Johor (87,370 kes) dan Kuala Lumpur (72,701 kes).

Menurut beliau, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian paling tinggi dengan 2,092 orang, kemudian Johor (2,010) dan Perak (1,321).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSPT telah melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara melibatkan semua kontinjen dan daerah bermula 8 malam hingga 5 pagi tadi.

Operasi itu melibatkan 4,378 pegawai dan anggota PDRM selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619