ad
AGENDA

Fasa pertama kerja pasang cerucuk tanah runtuh Taman Wawasan siap 80 peratus

25 Dis 2023, 1:00 PM
Fasa pertama kerja pasang cerucuk tanah runtuh Taman Wawasan siap 80 peratus

SHAH ALAM, 25 DIS: Fasa pertama kerja pemasangan cerucuk di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong mencapai tahap 80 peratus siap setakat ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sebanyak 375 batang cerucuk dipasang dengan memfokuskan kawasan hadapan rumah dan bahagian longkang.

“Sejurus fasa pertama selesai, kita akan teruskan fasa kedua dengan memasang 400 batang cerucuk di sepanjang jajaran kiri dan kanan longkang.

“Secara keseluruhan, fasa pertama ialah proses pengukuhan tanah di kawasan perumahan manakala fasa kedua pula pengalihan air sementara di kawasan longkang yang rosak dan runtuh,” katanya dihubungi.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kerja pemasangan cerucuk dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan bagi menstabilkan tanah selain mengelak runtuhan baharu berlaku.

Katanya, cerucuk dipasang sebagai tindakan awalan dan segera bagi menahan runtuhan berikutnya berlaku sebelum kerja untuk memulihkan cerun yang telah runtuh dijalankan.

Sabtu lalu, 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.