AGENDA

Lima ditahan bantu siasatan kes tanam mayat di Sungai Choh

25 Dis 2023, 11:34 AM
Lima ditahan bantu siasatan kes tanam mayat di Sungai Choh

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Polis menahan lima lagi individu semalam bagi membantu siasatan kes lelaki maut ketika bergaduh dengan abang teman wanitanya, di Sungai Choh, Rawang, Selangor Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata mereka terdiri tiga lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 35 tahun.

“Tangkapan dilakukan di tiga lokasi berbeza. Seorang lelaki dan dua wanita ditahan di Desa Aman Puri, di sini pada 4.40 petang manakala seorang lelaki pada 6.15 petang di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam.

“Lelaki terakhir ditahan pada 11 malam di Sungai Choh. Kesemuanya direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses bedah siasat yang selesai petang semalam menemukan kesan cedera dan lebam pada kepala dan seluruh badan mangsa, namun punca kematian belum disahkan.

Noor Ariffin berkata teman wanita mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kes itu dan dakwaan video bogel teman wanita itu sebagai motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Semalam, media melaporkan lelaki maut dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya kira-kira 11 pagi, Sabtu dipercayai akibat salah faham sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh.

Susulan itu, polis menahan tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619