BERITA UTAMA

Seni bina 100 tahun gereja putih gamit pengunjung

25 Dis 2023, 6:00 AM
Seni bina 100 tahun gereja putih gamit pengunjung
Seni bina 100 tahun gereja putih gamit pengunjung
Seni bina 100 tahun gereja putih gamit pengunjung

Gereja Our Lady of Lourdes (OLL) yang berusia hampir 100 tahun antara rumah ibadat di bandar Klang yang disenarai sebagai laluan Jejak Warisan Kerohanian.

Dibina pada 1928, gereja putih di tengah-tengah bandar itu berdekatan Kuil Sri Sivan dan Kuil Kyan Yim serta Masjid India Muslim Tengku Kelana, semuanya dalam lingkungan satu kilometer.

Laluan tersebut sebahagian daripada program Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang yang terdiri daripada enam laluan bersejarah sempena pengisytiharan bandar raya.

“Laluan (Jejak Warisan Kerohanian) ini bakal membawa pengunjung melihat bangunan rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong dan gurdwara.

“Semuanya terletak berdekatan antara satu sama lain, melambangkan keharmonian pelbagai agama Bandaraya Diraja Klang,” kata Kurator Majlis Perbandaran Klang (MPK) Faisal Surani.

Selain laluan kerohanian, program itu juga meliputi Jejak Warisan Diraja, Jejak Warisan Kota Raja, Jejak Warisan Pekan Lama, Jejak Laman Seni Safari dan Jejak Pesona Selera Warisan.

[caption id="attachment_620508" align="alignnone" width="827"] Suasana sekitar Gereja St Lourders Klang pada 19 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMADIZAM/SELANGORKINI[/caption]

Gereja OLL dibina Paderi Souhait dari Perancis yang mahir dalam bidang artitek untuk kegunaan pedagang dan pekerja yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Ukiran kaca pintu utama juga kekal sejak 1920-an. Dibawa dari Eropah, hiasan yang dipanggil ‘tingkap mawar’ itu berwarna-warni sekali gus menjadi daya tarikan utama.

Kerusi panjang menggunakan kayu cengal masih kukuh manakala pintu masuk dengan rekaan klasik yang mengelilingi bangunan itu juga kekal utuh.

Sentuhan Eropah

Gereja itu menggunakan seni bina Goth dari Perancis dengan rekaan kubah tinggi dan tajam. Reka bentuknya hampir menyamai gaya rumah ibadat sama di Eropah. Seni itu digunakan gereja sejak berabad-abad lamanya.

Gereja Basicila Saint Denis di Paris yang dibina pada 1135 dipercayai rumah ibadat Kristian pertama dibina menggunakan seni bina Goth atau lebih sinonim dipanggil Gothic.

Pada masa ini, gereja berkeluasan dua ekar yang bersebelahan Taman Bandar Diraja Klang kini boleh menampung lebih 500 orang berbanding sebelumnya 100 pengunjung.

[caption id="attachment_620510" align="alignnone" width="823"] Suasana sekitar Gereja St Lourders Klang pada 19 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMADIZAM/SELANGORKINI[/caption]

Menurut Paderinya Gregory Chan, gereja tersebut yang kerap dikunjungi penganut Kristian dari Singapura atas faktor seni bina turut menjadi tumpuan peminat sejarah dan fotografi.

“Kami tidak menutup pintu gereja. Sesiapa sahaja boleh masuk melihat seni bina dan memahami sejarah bangunan tua ini.

“Lagi empat tahun, gereja ini mencecah usia 100 tahun, kami sedaya upaya mengekal seni bina lama ini. Cat berwarna putih tidak pernah ditukar. Apatah lagi bahagian dalamnya,” katanya sempena sambutan Hari Krismas.

Namun, kos penyelenggaraan bangunan itu tinggi iaitu RM200,000 setiap tahun. Pengurusan gereja memperoleh pendapatan menerusi sewa bangunan kolej bersebelahan selain peruntukan negeri.

Gereja itu juga menjadi tempat berlindung lebih 100 mangsa banjir tanpa mengira kaum dan agama ketika bencana luar biasa itu melanda Selangor pada 2021. Mereka turut dijamu hidangan percuma dari pagi hingga ke malam.

“Ketika banjir, kita buka pintu seluas-luasnya. Mereka duduk di sini, tidak bermakna datang ke gereja, agama ditukar. Konsep rumah ibadat kita sama, melindungi mereka yang lemah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619