AGENDA

Remaja perempuan diselamatkan selepas dua hari berpaut pada pokok bakau

23 Dis 2023, 12:30 PM
Remaja perempuan diselamatkan selepas dua hari berpaut pada pokok bakau

BUTTERWORTH, 23 DIS: Seorang remaja perempuan terpaksa berpaut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan di Penang Port Sdn Bhd, di sini, selama dua hari sebelum diselamatkan hari ini.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata mangsa berusia 17 tahun itu berjaya diselamatkan selepas lambaiannya meminta tolong disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan kira-kira 9 pagi tadi.

"Remaja itu dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Khamis lepas dan berusaha berenang ke arah sebuah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan tersebut.

“Sepanjang dua hari tersangkut, mangsa memaklumkan dia berusaha melambai ke arah orang awam untuk meminta pertolongan tetapi tidak disedari oleh sesiapa hinggalah seorang pegawai bomba pelabuhan ternampak lambaiannya dan diselamatkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, remaja itu dipercayai mengalami tekanan kerana kecewa apabila dua kali gagal dalam ujian memandu dan takut dimarahi keluarganya.

Faris Izwan berkata remaja perempuan itu ditemukan dalam keadaan lemah tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa meninggalkan motosikal milik ibu saudaranya di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang di sini, dari arah Perai menghala ke pulau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619