AGENDA

Anak syarikat negeri berminat teroka pelaburan di Nusantara, Indonesia

21 Dis 2023, 2:19 AM
Anak syarikat negeri berminat teroka pelaburan di Nusantara, Indonesia

JAKARTA, 21 DIS: Beberapa syarikat milik kerajaan negeri Selangor menunjukkan minat tinggi untuk melabur dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, menurut agensi penggalak pelaburan Invest Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Hasan Azhari Idris berkata syarikat-syarikat ini terlibat dalam pelbagai sektor, termasuk pembinaan kediaman, perkhidmatan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa.

"Kami berminat dengan kerjasama pembangunan yang berpotensi dari peringkat awal projek ini dan dalam menyediakan kemahiran dan kepakaran," katanya semasa pertemuan dengan media Indonesia dan Malaysia di sini.

Invest Selangor adalah salah satu peserta dalam misi pecutan eksport yang diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia selama empat hari ke Indonesia yang berakhir esok.

Menurut Hasan Azhari, agensi itu akan berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Bandar Raya Nusantara (OIKN) dan terbuka kepada kemungkinan mengemukakan surat hasrat.

"Selepas pulang ke Malaysia, kami akan merancang untuk penglibatan Selangor dalam pembangunan Nusantara," katanya.

Datin Paduka Norazlina Zakaria, ketua pegawai eksekutif kumpulan Worldwide Holdings Bhd milik kerajaan Selangor, turut menyatakan minat untuk meneroka pelaburan dalam sektor hartanah, tenaga hijau dan produk perubatan yang disahkan halal.

“Terdapat banyak penyedia penjagaan kesihatan di Balikpapan, Kalimantan Timur. Jika boleh, kami ingin bekerjasama dengan syarikat penjagaan kesihatan tempatan untuk membawa barangan Indonesia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Setiausaha kerajaan negeri Selangor Datuk Haris Kasim berharap Selangor dapat menyertai program pembangunan Nusantara dengan bekerjasama dengan kementerian, agensi dan syarikat kerajaan Indonesia.

“Ini adalah satu inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dua hala untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619