AGENDA

Kutipan Tabung Musa’adah cecah RM9 juta, disalur ke Palestin bina hospital

19 Dis 2023, 10:31 AM
Kutipan Tabung Musa’adah cecah RM9 juta, disalur ke Palestin bina hospital

PUTRAJAYA, 19 DIS: Jumlah kutipan Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) kini mencecah RM8.8 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata dana daripada tabung berkenaan akan diagihkan secara berperingkat ke Palestin untuk dimanfaatkan bagi pembinaan kemudahan infrastruktur.

"Kita beri tumpuan lebih kepada bantuan pasca konflik di Palestin. Cadangan kita adalah untuk bina hospital dan pusat dapur.

"Kita akan kerjasama dengan beberapa NGO (badan bukan kerajaan) untuk bina kemudahan yang kita rancangkan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn Bhd serta penyerahan cek contoh Tabung Musa’adah Jakim-YWM di sini hari ini.

Tabung Musa’adah Jakim-YWM dilancarkan pada Oktober 2020 yang berfungsi sebagai tabung bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan bangsa.

Mengenai perjanjian kerjasama strategik, Mohd Na’im berkata ia bertujuan mempelbagaikan platform kutipan dan agihan wakaf melalui penggunaan platform bantuan sosial pintar GoBarakah.

“Melalui GoBarakah, masyarakat boleh berwakaf secara tunai atau membuat sumbangan melalui pembelian e-baucar yang kemudiannya akan diserahkan kepada YWM untuk tujuan agihan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619