AGENDA

Jangan leka, amal langkah pencegahan jangkitan Covid-19

19 Dis 2023, 2:02 AM
Jangan leka, amal langkah pencegahan jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 19 DIS: Penduduk Selangor dinasihat mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 susulan peningkatan kes ketika ini.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri berkata kawalan kendiri seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam terutama kawasan tertutup, sempit dan sesak adalah sangat wajar.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata kawalan kendiri lain seperti amalan TRISS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) sekiranya bergejala dan dijangkiti perlu dipraktikkan.

“Kawalan kendiri ini sudah sepatutnya sebati dan menjadi amalan rakyat kerana sudah tiga tahun kita terdidik dengan amalan pencegahan penularan Covid-19.

“Selangor terutamanya negeri yang berkepadatan tinggi. Jadi penjarakan sosial kita (biasanya) terhad terutama di tempat awam yang tertutup seperti pusat beli-belah.

“Selain itu, musim cuti sekolah ini banyak majlis keramaian, perkahwinan, kenduri berkhatan atau bercuti di taman tema air yang melibatkan ramai orang. Jadi kena jaga diri sendiri dan buat kawalan kendiri untuk elak menjadi statistik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut Dr Mohammad Farhan berkata golongan yang berisiko tinggi seperti berusia 60 tahun ke atas, menghidap penyakit tidak berjangkit dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun digalakkan mengambil dos penggalak vaksin.

“Kita perlu faham, vaksin ini sebagai langkah pencegahan, jadi ambillah.

“Untuk ibu bapa yang mungkin dulu anak mereka tidak layak untuk vaksin, kini sudah layak sebab sudah mencapai umur sepatutnya usahakanlah anak-anak untuk dapatkan vaksin kerana mereka ini berisiko tinggi,” katanya.

Sebelum ini EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dalam kenyataan berkata peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dijangka terus melonjak susulan sambutan perayaan Krismas di samping musim cuti sekolah.

Justeru belliau menyeru rakyat supaya mematuhi panduan kesihatan dan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk mengelak mengunjungi tempat sesak atau tumpuan orang ramai sekiranya mengalami sebarang gejala.

Orang ramai juga disaran mendapatkan dos primer dan penggalak vaksin terutama golongan berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang medianya semalam memaklumkan Kementerian Kesihatan tidak bercadang melaksana sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619