AGENDA

Finas tekad bantu penggiat industri kreatif

19 Dis 2023, 12:46 AM
Finas tekad bantu penggiat industri kreatif

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tekad mengambil inisiatif memberi bantuan kepada penggiat industri kreatif menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri.

Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi akan menyelaras agihan bantuan secara sistematik menerusi data yang diperolehi.

“FINAS sentiasa memerhati penggiat industri yang perlu bantuan secara langsung atau tidak dan mendapati bantuan yang diberi adalah secara ad-hoc. Jadi, kita mahu buat bantuan dengan cara yang lebih sistematik,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif, di sini semalam.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut akan bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mempunyai 11 persatuan seni bagi menyalur dan berkongsi maklumat tentang kebajikan individu, persatuan dan badan berkaitan industri kreatif negara sebagai satu sinergi.

“Tujuan jawatankuasa itu juga adalah agar artis kita dan penggiat industri kreatif disatukan, jadi cara terbaik sekarang ini adalah mendaftarkan diri kepada FINAS, bila sudah daftarkan diri FINAS ada rekod dan data, memudahkan agihan memberi sumbangan,” katanya.

Sementara itu, Zed Zaidi berkata setakat ini, seramai 100 penggiat seni akan menerima bantuan daripada program tersebut dan menyasarkan lebih lagi bantuan akan diberikan setelah mendapat data dan rekod daripada GAFEMA.

“Untuk 2024 kita sudah ada perancangan, siapa yang akan diberi (bantuan) kerana di FINAS ini tidak fokus kepada artis sahaja, kita fokus juga kepada kru, pengarah, penerbit dan kategori lain bernaung di bawah FINAS,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa telah bersedia untuk bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu pengagihan bantuan kepada penggiat industri kreatif sekiranya berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL).

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619