ad
BUDAYA

Dilupakan, belum berakhir

16 Dis 2023, 12:30 AM
Dilupakan, belum berakhir

 

malam bermula semacam amaran

kau mengunci pintu, tetapi ketidakpastian

seperti banyak keresahan lain manusia

menceroboh dari dalam

kamarmu. dengan apa kauukur

waktu?– kekalahan-kekalahan kecil

yang tak menemukan kata ucap

bahkan sebagai puisi, tergumpal

di bawah ranjang menjadi debu

kau berbaring. malang, hidup

tak mampu sebersih cadar–

kerana pasrah adalah

mengulang pengertian

kalau bahagia hanyalah

jarak antara dua darah

seribu kali cermin merakam

penamat wajahmu

seribu kali jendela meraut

wajah baru.

kau terlalu sering dibuat

percaya soal bergerak

terlalu asing merumahi tubuh

terlalu runsing meramahi waktu.

hingga dalam perjalanan

kadang sukar menentukan

apa kau sedang menuju kepada

atau lari daripada sesuatu?

mata pejam. dari fikiranmu

lahir pengkhianatan-pengkhianatan kecil

seperti catatan mengerumuni

tarikh-tarikh di kalendar.

kau tak tahu di mana kau

berada dalam jurang takdir

meski ada ikhtiar harus dilupakan

masih ada tujuan belum berakhir

malam terus berdering amaran

di luar, tak kaunanti henti hujan

sesekali kauingin tenggelam

tanpa merasa dilemaskan.

 

Meor Izzat Mohamad

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.