AGENDA

Badminton Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik terkandas peringkat kumpulan

15 Dis 2023, 8:05 AM
Badminton Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik terkandas peringkat kumpulan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi tersingkir daripada kempen Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan rekod buruk apabila gagal meraih sebarang kemenangan di Hangzhou, China hari ini.

Ia selepas juara dunia 2022 itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut pada aksi terakhir Kumpulan A di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, sekali gus menduduki tempat tercorot sama seperti edisi lepas.

Pada pertembungan hari ini, Aaron-Wooi Yik cuba memberikan tentangan ketika berdepan Liang Wei Keng-Wang Chang namun gagal menyaingi kehebatan gandingan nombor satu dunia itu selepas tumpas 21-18, 14-21, 12-21 dalam tempoh sejam.

Kemenangan dilakar gandingan tuan rumah itu membolehkan mereka menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua untuk mengiringi juara yang juga rakan senegara Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi ke peringkat separuh akhir.

Terdahulu, Liu-Ou mudah menumpaskan wakil Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menamatkan saingan kumpulan di posisi ketiga, 21-12, 21-17, sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati dengan rekod tanpa kalah dalam misi mempertahankan gelaran dimenangi tahun lepas.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 menyaksikan mereka terus kempunan melangkah ke peringkat separuh akhir dalam empat kempen Jelajah Dunia Akhir BWF selepas edisi 2022, 2020 dan 2019 sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah mara ke separuh akhir beregu lelaki menerusi gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada edisi lepas yang berlangsung di Thailand.

Di sebalik prestasi kurang memuaskan pada kempen Jelajah Dunia Akhir BWF tahun ini, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan ketiga dunia itu berjaya meraih pingat gangsa kejohanan dunia pada Ogos, gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 (Oktober) dan menamatkan penantian merangkul gelaran Jelajah Dunia buat julung kali selepas menjuarai Terbuka Denmark dalam bulan sama.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619