AGENDA

Pelaksanaan Kod Sukan Selamat diperluas tahun depan

15 Dis 2023, 5:15 AM
Pelaksanaan Kod Sukan Selamat diperluas tahun depan

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan pelaksanaan Kod Sukan Selamat diperluas ke peringkat akar umbi dalam usaha mewujudkan persekitaraan sukan yang selamat dan harmoni bermula pada tahun depan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata Kod Sukan Selamat adalah garis panduan perlu dipatuhi semua pihak yang terlibat dalam apa-apa acara, pertandingan dan kejohanan sukan termasuk ibu bapa.

Sebagai contoh, Hannah berkata beliau enggan lagi melihat insiden pengadil atau pasukan lawan diserang ibu bapa ketika sesuatu permainan sukan sedang berlangsung.

“Saya tak nak tengok video yang bila seorang anak kalah, ibu bapa marah pengadil, marah pasukan lawan (kerana) itu adalah persekitaraan sukan yang tidak selamat dan tidak sihat.

“Jadi tahun depan kita akan tekankan pelaksanaan Kod Sukan Selamat supaya semua yang terlibat tahu mengenai tanggungjawab masing-masing termasuk anak-anak kecil,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Pink Blitz Touch Rugby Porto ‘23 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata selain perlu menyediakan laporan sekiranya terdapat insiden pergaduhan, penganjur atau pihak sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peraturan dan garis paduan diikuti semua pihak.

“Ibu bapa tak boleh masuk (ganggu perlawanan) dan cikgu-cikgu sekolah jangan takut pada ibu bapa. Kita nak pastikan ada trend untuk lapor dan ada tindakan yang diambil,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata KBS perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melicinkan usaha pelaksanaan Kod Sukan Selamat di sekolah selepas mendapati kod itu tidak sampai ke pengetahuan keseluruhan pelajar.

Beliau berkata kesemua kes yang telah diterima KBS akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi yang turut melibatkan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata KBS akan berjumpa dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bulan depan bagi menetapkan garis panduan berhubung pelepasan cukai untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Terdahulu, Hannah merasmikan kejohanan ragbi sentuh bawah 12 tahun dan bawah 10 tahun di sini yang disertai 20 pasukan dari sekolah seluruh negara.

Pengarah kejohanan Abdul Hafiz Abdul Rahman berkata ia merupakan edisi sulung dan bercadang menjadikan sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan lagi sukan itu dalam kalangan pelajar sekolah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619