AGENDA

31 individu ditahan dipercayai teroka unsur nadir bumi secara haram

13 Dis 2023, 3:19 PM
31 individu ditahan dipercayai teroka unsur nadir bumi secara haram

IPOH, 13 DIS: Seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang merupakan kerjasama pihaknya dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) melalui Op Khazanah itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan.

Beliau berkata pada 8 Disember lalu dalam serbuan yang dilakukan di hutan simpan itu kira-kira 3.30 petang berjaya menahan 28 individu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan daripada yang ditahan merupakan warga tempatan dan selebihnya warga asing, kita juga turut melakukan tangkapan susulan terhadap tiga lagi suspek iaitu seorang warga tempatan dan dua lagi warga asing di lokasi berasingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 69 tahun terdiri daripada 16 lelaki warganegara China, tiga lelaki dan satu wanita Myanmar serta seorang wanita warga Vietnam.

“Semakan juga mendapati kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Katanya, kesemua suspek warga tempatan direman tiga hari manakala warga asing akan direman 14 hari di bawah Seksyen 51 (5) (B) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun siasatan bagi kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) akan dilakukan oleh JPNPk untuk pendakwaan berasingan, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619