AGENDA

KPDN: Dakwaan subsidi diesel dihapuskan mulai Januari tidak benar

13 Dis 2023, 12:30 AM
KPDN: Dakwaan subsidi diesel dihapuskan mulai Januari tidak benar

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menafikan dakwaan di media sosial, yang kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Jan depan.

KPDN dalam kenyataan menegaskan dakwaan itu tidak benar dan sebaliknya kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari ini.

Menurut kenyataan itu, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

“KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPDN itu memaklumkan, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, setelah sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, selesai dilaksanakan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619