AGENDA

Polis nasihat orang ramai henti ulas kes kematian Zayn Rayyan

8 Dis 2023, 11:45 AM
Polis nasihat orang ramai henti ulas kes kematian Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR, 8 DIS Polis menasihatkan orang orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ini susulan pihaknya mengesan beberapa komen dan hantaran tidak sesuai di aplikasi TikTok berhubung siasatan kes itu.

“Kes ini masih dalam siasatan jenayah oleh pihak polis dan komen-komen seperti ini bukan sahaja mewujudkan kegusaran kepada orang ramai, tetapi juga mengganggu emosi keluarga yang dalam kesedihan di atas kehilangan anak yang disayangi.

“Kita minta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak semalam tular tangkap layar yang dimuat naik di laman TikTok memaparkan mengenai keadaan mayat Zayn Rayyan ketika ditemukan kumpulan penduduk yang membantu operasi mencarinya.

Selepas dilaporkan hilang tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, kanak-kanak berumur enam tahun itu ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokkan hari, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Buloh semalam, kematian Zayn Rayyan disiasat sebagai kes bunuh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619