AGENDA

Orang ramai dinasihat waspada tawaran tebus kredit eMadani melalui media sosial

4 Dis 2023, 1:58 AM
Orang ramai dinasihat waspada tawaran tebus kredit eMadani melalui media sosial

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Kewangan (MOF) menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan 'peer-to-peer' kredit eMadani oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Dalam kenyataannya, MOF berkata, ia bagi mengelakkan penerima manfaat eMadani daripada menjadi mangsa penipuan 'scam' serta kehilangan kredit yang diterima mereka.

"MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat kehilangan kredit akibat pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

"Dalam pada itu, kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terbabit dan melucutkan hak kredit penerima eMadani jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang membabitkan pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai," katanya dalam kenyataan, hari ini, seperti dilapor Berita Harian.

MOF berkata, program eMadani diluncur bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

"Oleh itu, kredit eMadani tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

"Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terbabit iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.

"Pendaftaran program eMadani dibuka mulai hari ini sehingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program eMadani dengan melayari https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619