AGENDA

Guru ditahan buat hantaran berbaur ugutan terhadap PM

1 Dis 2023, 12:38 PM
Guru ditahan buat hantaran berbaur ugutan terhadap PM

JITRA, 1 DIS: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam tadi di rumahnya di Kulim, susulan lima laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negeri ini semalam.

"Kita ambil tindakan daripada laporan pertama yang kita terima semalam pada 5.33 petang di Balai Polis Kampung Tanjung di Padang Terap.

"Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan Padang Terap," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata selain di Padang Terap, pihaknya turut menerima laporan berkaitan hantaran itu di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim.

Fisol berkata pihaknya memohon perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap suspek yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Kulim.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam setiap hantaran di media sosial dan tidak membuat hantaran yang boleh menjadi kesalahan seperti mengandungi ugutan jenayah.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619