ADN

Bina rumah di kawasan riadah, pemaju sedia teliti pandangan penduduk

1 Dis 2023, 8:35 AM
Bina rumah di kawasan riadah, pemaju sedia teliti pandangan penduduk

SHAH ALAM, 1 DIS: Pemaju projek perumahan Tiara Residence sedia meneliti pandangan dan tuntutan persatuan penduduk berhubung isu pembangunan di padang golf Bukit Jelutong di sini.

Wakil rakyat Kota Anggerik menjelaskan Sime Darby Property (SDP) akan memastikan pembangunan dirancang atas padang hijau terakhir kawasan terbabit mematuhi peraturan dan menjaga kepentingan penduduk setempat.

Najwan Halimi berkata komitmen dinyatakan pemaju dalam sesi pertemuan dan perbincangan bersama wakil Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA) kelmarin juga bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Pihak SDP juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan pihak BJRA demi memastikan penyelesaian tuntas dapat dicapai di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Pertemuan di sebuah hotel di sini turut disertai Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof manakala SDP diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ir Mohd Sohimin Mohd Alayedin dan BJRA dihadiri Presidennya Zien Hashim.

Najwan yang juga EXCO Kerajaan Negeri memaklumkan perbincangan berjalan dengan baik dan harmoni selain menghargai kesediaan pemaju mendengar pandangan, cadangan serta tuntutan diajukan.

Pada 18 November, lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong mengadakan perhimpunan aman memohon pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak meneruskan projek pembinaan 425 unit rumah di kawasan berkenaan.

Mereka berharap padang hijau itu dikekalkan kerana menjadi kawasan riadah penduduk setempat sejak tiga dekad lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619