AGENDA

Pekerja ladang getah maut diserang harimau di Gua Musang

29 Nov 2023, 3:31 PM
Pekerja ladang getah maut diserang harimau di Gua Musang

GUA MUSANG, 29 NOV: Seorang pekerja ladang getah warga Indonesia ditemukan maut dipercayai dibaham harimau di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Shabaini, 36, dan mayatnya dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di bahagian leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Beliau berkata terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat dilancarkan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 1.30 tengah hari.

“Hasil operasi kira-kira satu jam di tempat kejadian, pasukan SAR menemukan mayat mangsa di kawasan cerun kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sik, pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada 6.16 petang dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pada 7 malam untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja agar bergerak secara berkumpulan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada 12 Nov lepas, seorang lelaki warga Myanmar Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut pada 1.30 tengah hari dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto, di sini.

Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di Hutan Simpan, Kampung Meranto, juga dipercayai angkara harimau.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619